Acheh yang terletak
di utara Sumatera telah mengambil alih peranan
sebagai pusat peradaban Islam daripada Melaka yang telah diserang oleh
Portugis. Acheh telah menjadi tumpuan umat Islam seperti golongan ulama
sehingga menjadi pusat pendidikan Islam yang penting ketika itu.
Antara institusi
pendidikan yang penting ketika itu ialah masjid. Segala kegiatan umat Islam
dilakukan di masjid. Pendidikan yang diajar di sini berkaitan dengan pendidikan
menengah pertama. Terdapat beberapa buah masjid telah dinaiktaraf sebagai pusat
pendidikan tinggi. Misalnya Masjid Bait al-Rahman.
Meunasah pula
merupakan institusi yang memberi pendidikan asas di setiap kampung. Para
pelajar diajar membaca al Quran, membaca dan menulis huruf Arab serta
perkara-perkara asas dalam Islam selain ilmu fardhu ain.
Rangkang atau pondok
pula merupakan institusi pendidikan bertaraf menengah rendah. Pelajar sendiri
membina pondok-pondok kecil mengelilingi masjid yang dijadikan asrama. Tahap
pembelajaran di sini bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki oleh gurunya.
Murid yang pintar biasanya akan berpindah dari satu rangkang ke satu rangkang
lain untuk mengikuti pelajaran daripada guru yang lebih mahir.
Institusi dayah pula
boleh disamakan dengan Sekolah Menengah Atas di Indonesia kini. Dayah dibina di
hampir setiap daerah ‘nanggore’ (negeri). Kebanyakan dayah berdiri sendiri di
luar lingkungan masjid dengan menggunakan sebuah balai utama iaitu ‘aula’
sebagai tempat belajar sembahyang. Namun, terdapat juga dayah yang berpusat di
masjid bersama rangkang. Contoh dayah ialah Dayah Cot Kala yang telah melahirkan ramai ulama
sebagai pendakwah Islam di Nusantara. Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa
Arab menggunakan kitab-kitab dari Semenanjung Tanah Arab.
Jamiah atau
Universiti Baiturrahman berasal daripada Masjid Bait al-Rahman yang telah
dinaiktaraf. Terdapat 17 ‘dar’ atau fakulti ditawarkan. Antaranya Fakulti Ilmu
Tafsir dan Hadis, Fakulti Ilmu Kedoktoran, Fakulti Ilmu Kimia, Fakulti
Pertanian dan Fakulti Peperangan. Tenaga pengajar merangkumi para ulama atau
sarjana dari Acheh serta dari negara-negara Islam lain seperti Arab, Turki,
Parsi dan India.
Akhir sekali, istana
juga merupakan salah satu institusi pendidJama’ikan di Acheh. Sultan Iskandar
Muda Mahkota Alam misalnya telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang
terdiri daripada Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jama’ah
Himpunan Ulama. Balai Setia Hukama merupakan tempat para ulama dan ahli fikir
untuk membahaskan perkara-perkara berkaitan pendidikan. Balai Setia Ulama pula
menguruskan masalah berkaitan pendidikan. Balai Jama’ah Himpunan Ulama pula
menjadi medan perbincangan para sarjana dan ulama bertukar pandangan,
berseminar, membahas masalah pendidikan serta tempat perkembangan ilmu
pengetahuan.
Jelas Acheh amat
mementingkan perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Buktinya, muncul
pelbagai institusi pendidikan dan lahir ramai golongan ulama. Hal ini amat
bertepatan dengan gelaran ‘Serambi Makkah’ yang diberikan kepada Acheh.
No comments:
Post a Comment