Pendidikan Islam
menekankan pertumbuhan manusia yang seimbang dalam melaksana tugas sebagai
seorang khalifah di muka bumi. Imam al Ghazali menjadikan ilmu pengetahuan
sebagai antara syarat yang perlu dipatuhi seseorang calon khalifah. Khalifah Bani
Umaiyah juga berminat dengan perkembangan pendidikan. Khalifah Muawiyah
misalnya, akan membaca sampai sepertiga malam untuk mempelajari cerita-cerita
bangsa Arab, peperangan dan cerita-cerita bangsa asing. Pelbagai institusi
pendidikan dibina pada zaman pemerintahan kerajaan ini.
Institusi pendidikan
yang ditubuhkan pada awalnya ialah masjid. Banyak masjid dibina dan dijadikan
pusat pendidikan seperti Masjid Amawiyin/Umawi di Damsyik, masjid di Kufah,
Basrah dan Fustat. Khalifah Walid al Walid contohnya berusaha mengembangkan
ilmu pengetahuan dengan menghapuskan buta huruf dalam kalangan umat Islam
melalui pembinaan masjid dan kuttab. Masjid Amawiyin dibina selama lapan tahun
dan dijadikan tempat beribadat serta tempat belajar kaum muslimin. Bilik-bilik
disediakan sebagai tempat menyalin dan perbincangan pelajar. Guru-guru
berkhidmat secara sukarela dan ada juga yang dibayar gaji. Kurikulum yang
dipelajari ialah fardhu ain dan fardhu kifayah (bahasa, kesusasteraan, ilmu
hisab).
Istana khalifah juga
dijaduikan pusat pendidikan ketika ini khasnya istana di Damsyik, Syria.
bahan-bahan bacaan dalam bahasa Yunani diterjemah ke bahasa Arab. Khalifah
Muawiyah bin Abu Sufyan contohnya sering mengundang para ulama dan cendekiawan
ke istananya bagi membicarakan ilmu sejarah Arab, sejarah peperangan serta hal
pentadbiran. Tumpuan diberi kepada pendidikan putera-putera khalifah dan
anak-anak pembesar. Guru berpengalaman dijemput untuk mengajar di istana
berkaitan sejarah, kesusasteraan, tatasusila, pidato serta moral.
Seterusnya ialah
institusi kuttab yang terbahagi kepada dua iaitu kuttab untuk orang awam yang
dikenakan yuran pengajian dan Kuttab al Sabil khas untuk kanak-kanak miskin
yang tidak dikenakan yuran pengajian. Fokus utama pembelajaran ialah pengajian
al Quran serta asas-asas ilmu agama sebagai persediaan memasuki peringkat
pendidikan lebih tinggi iaitu halaqah.
Pengajian halaqah
diadakan di masjid. Sistem pengajian tradisional ini berlangsung apabila
pelajar berkumpul dalam bentuk bulatan mengelilingi guru sambil menadah kitab.
Jangka masa pembelajaran tidak terhad namun semakin lama belajar, semakin
tinggi ilmu seseorang. halaqah telah berkembang ke negara-negara Islam lain
termasuk Nusantara.
Jika dilihat dari
aspek tenaga pengajar, guru-guru yang dipertanggungjawabkan memiliki tahap
pengetahuan yang berbeza. Guru-guru yang kurang berpengalaman akan mengajar di
kuttab. Di istana pula, ‘muaddib’ yang lebih berpengalaman akan mengajar
putera-putera khalifah dan anak-anak pembesar tentang ilmu pengetahuan, budi
bahasa, moral dan sahsiah. Di masjid, para ulama terkenal yang mengajar,
misalnya Hassan al Basri, Abdullah bin Abbas dan Khatib al Baghdadi.
Terdapat pelbagai
faktor yang mendorong perkembangan pendidikan di zaman bani Umaiyah. Antaranya
ialah pemberia pendidikan secara percuma serta agresifnya dasar peluasan kuasa.
No comments:
Post a Comment