Piagam Madinah
Piagam Madinah
1/ Merupakan undang-undang bertulis pertama di dunia.
2/ Digubal bersumberkan wahyu.
3/ Mengandungi 47 fasal
i. Fasal 1 - 23: berkaitan hubungan antara umat Islam dengan kaum Yahudi.
ii. Fasal 24 - 47: berkaitan kaum Yahudi dan tanggungjawab mereka terhadap Madinah.
Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
- 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
- 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah,
ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah,
Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah
juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya
membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Perangkaan Piagam Madinah
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah atau di kenali sebagai perlembagaan madani, beliau telah mengikut bimbingan wahyu
dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat
tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam
Madinah.
Langkah pertama
Dilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.
Langkah kedua
Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi
mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan
hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
Langkah ketiga
Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian
yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung
dalam Piagam Madinah adalah:
- Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
- Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
- Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
- Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
- Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut.
Tujuan Piagam Madinah
- Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
- Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
- Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
- Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
- Mewujudkan keamanan di Madinah
- Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
- Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
- Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
- Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
- Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.
Prinsip Piagam Madinah
- Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
- Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
- Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
- Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
- Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
- Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
- Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
- Kebebasan beragama
- Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
- Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.
Kandungan Piagam Madinah
- Fasal 1
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis)
daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan
orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.
- Fasal 2
Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.
- Fasal 3
Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama
mereka : mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima diyat
(wang tebusan) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa
yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang
beriman.
- Fasal 4
Bani Auf (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam
mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima
wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus
sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara
berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
- Fasal 5
Bani al-Harith (dari Yathrib – Madinah) bin al-Khazraj tetaplah di
atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang
tebusan darah seperti dulu, dan tia-tiap puak dari (Suku Khazraj)
hendaklah membayar wang tebusandarah mereka sendiri dengan adil dan
berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.
- Fasal 6
Bani Saidah (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka
bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu
dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah
untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan
orang-orang yang beriman.
- Fasal 7
Bani Jusyam (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka
bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu
dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah
untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan
orang-orang yang beriman.
- Fasal 8
Banu al-Najjar (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka
bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu
dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah
untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan
orang-orang yang beriman.
- Fasal 9
Bani Amru bin Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama
bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap
puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka
sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang
beriman.
- Fasal 10
Bani al-Nabiet (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka
bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu
dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah
untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan
orang-orang yang beriman.
- Fasal 11
Bani Aus (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka
bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu
dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah
untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan
orang-orang yang beriman.
- Fasal 12
Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang
masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama
bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan untuk menbayar
wang tebusan darah dengan adil.
-
- Fasal 12-b
Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian
dengan orang yang di bawah kawalan seseorang yang beriman yang lain
dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu.
- Fasal 13
Bahawa orang-orang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa
yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman atau
dosa atau perseteruan atau kerosakan di kalangan orang-orang beriman,
dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut
walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang dari mereka.
- Fasal 14
Tidak sayugianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain
kerana seorang kafir, tidak sayugianya ia menolong mana-mana kafir
terhadap seseorang mukmin.
- Fasal 15
Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib
orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin
hendaklah salinh menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang lain.
- Fasal 16
Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan
pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada
pakatan tidak baik terhadap mereka.
- Fasal 17
Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu adalah satu dan sama, oleh
itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mukmin tanpa
diturut serta oleh mukmin yang lain dalam sesuatu perang pada jalan
Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka.
- Fasal 18
Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan
terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.
- Fasal 19
Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.
- Fasal 20
Bahawa orang-orang mukmin lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.
-
- Fasal 20-b
Nahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta
orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh
menghalang orang mukmin (akan haknya)
- Fasal 21
Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin
dengan tidak ada bukti yang cukup (alasan yang membolehkan pembunuhan
itu berlaku) hendaklah dihukum bunuh balas kecuali dipersetuji oleh wali
yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mukmin hendaklah
bersatu suara mengutuk perbuatan itu, bahkan tidak harus bagi mereka
menegakkan terhadapnya.[2]
- Fasal 22
Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi
kandungan Piagam ini, dan percaya Allah dan Hari Kemudian, menolong
mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa
menolong orang itu maka keatasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada
hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima darinya sebarang tebusan dan
tidak juga sebarang taubat.
- Fasal 23
Berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad.
- Fasal 24
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang
- Fasal 25
Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama
orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi)
dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang
yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan
sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa
melainkan dirinya dan keluarganya sendiri
- Fasal 26
Yahudi Bani al-Najjar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 27
Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 28
Yahudi Bani al-Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 29
Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 30
Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 31
Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf,
kecuali orang-orang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak
akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri.
- Fasal 32
Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Tha’alabah)
- Fasal 33
Bani Shutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.
- Fasal 34
Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.
- Fasal 35
Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.
- Fasal 36
Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar
dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari (Nabi) Muhammad.
-
- Fasal 36-b
Tidak boleh disekat dari membuat kelukaan yang dilakukan oleh
mana-mana orang ke atas dirinya, barang siapa membuat kejahatan maka
balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi
dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini.
- Fasal 37
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana
orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka
sama0sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi
orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling
nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.
-
- Fasal 37-b
Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan
yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada
orang yang dizalimi.
- Fasal 38
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana mereka berada dalam keadaan perang
- Fasal 39
Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini
- Fasal 40
Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlaku sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa.
- Fasal 41
Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.
- Fasal 42
Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di
antara sesama peserta piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa bencana
maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian
oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan
piagam ini dan merestuinya
- Fasal 43
Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy
(musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang
yang membantunya.
- Fasal 44
Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.
- Fasal 45
Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam
satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk
campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat
demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap
orang-orang yang memerangi agama (Islam).
- Fasal 46
Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang
yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti
mana pihak-pihak yang lain yang menganggotai ini demi kebaikan mereka
semata-mata (perdamaian) dari anggota-anggota piagam ini. Dan mereka
hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa
kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya
sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan
merestuinya.
- Fasal 47
Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang
zalim dan yang bersalah; dan bahawa –mulai dari saat ini barang siapa
berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin
keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa
Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa dan
bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.
Esei Piagam Madinah
Peranan Piagam Madinah
Piagam
Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di dunia. Ia digubal oleh Nabi
Muhammad s.a.w berdasarkan wahyu yang diperturunkan oleh Allah s.w.t. Piagam
yang mengandungi 47 fasal merupakan satu langkah mendirikan negara Islam di
Madinah.
Piagam
Madinah merupakan batu asas pengiktirafan penduduk bukan Islam terutamanya
masyarakat Yahudi ke atas negara Islam. Penggubalan Piagam Madinah membolehkan Nabi Muhammad
menubuhkan negara Islam Madinah yang berdaulat dan diiktiraf oleh semua
kaum termasuk Yahudi. Baginda kemudiannya diiktiraf sebagai ketua negara dan berperanan
menyelesaikan sebarang perbalahan di
Madinah. Baginda berjaya menyelesaikan masalah perkauman.
Selain
itu, Piagam Madinah juga merupakan asas kepada penyatuan penduduk Madinah. Penduduk Madinah terdiri
daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Piagam Madinah ini membolehkan
penduduk berbilang kaum di Madinah hidup aman dan damai. Hal ini demikian
kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan beragama, berfikir, berkerja selain
menekankan konsep keadilan selain menolak diskriminasi kaum. Sikap saling
menghormati antara satu sama lain amat ditekankan bagi mengelakkan permusuhan.
Selain
itu, Piagam Madinah membolehkan sistem perundangan Islam diamalkan oleh semua
penduduk Madinah. Baginda telah menubuhkan sistem kehakiman dan keadilan yang
sistematik. Sebagai contoh, hukuman terhadap pesalah dilakukan dengan adil
tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, peraturan dalam sesebuah kabilah tidak
dihapuskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dari segi ekonomi
pula, unsur penipuan dan dan riba dihapuskan. Semua penduduk Madinah diberi
peluang yang sama dalam bidang ekonomi.
Piagam Madinah turut menekankan
keselamatan negara Madinah. Semua penduduk Madinah diseru untuk
mempertahankan Madinah dari sebarang ancaman luar. Keselamatan dan
kesejahteraan penduduk bukan Islam iaitu kaum Yahudi dijamin selagi mereka
mematuhi Piagam Madinah. Piagam Madinah amat menekankan konsep bersatu dalam
menentang musuh yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara Madinah.
Penggubalan Piagam Madinah oleh Nabi
Muhammad s.a.w merupakan satu langkah bijak dalam mewujudkan perpaduan penduduk
Madinah. Madinah akhirnya muncul sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja
kuat tetapi turut dihormati oleh negara luar.
No comments:
Post a Comment