Tuesday, March 26, 2013

1.4: Kepimpinan Nabi Muhammad SAW

Ciri Kepimpinan Nabi Muhammad

Berikut ialah ciri-ciri kepimpinan yang terdapat pada Nabi Muhammad s.a.w.
  1. Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun gajah.
  2. Baginda menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadan ( 16 Ogos 610M ) iaitu srah Al Alaq dan dilantik secara rasmi sebagai nabi ketika berusia 40 tahun 6 bulan.
  3. Baginda telah menjalankan dakwah melalui dua cara iaitu berdakwah secara sulit selama kira-kira tiga tahun dan kemudian dilakukan secara terbuka tetapi mendapat tentangan yang sangat hebat dari orang Musyrikin sehingga baginda berasa sungguh kecewa dan berhijrah ke kota Madinah serta berjaya membina sebuah Negara yang berdaulat dan disegani.
  4. Disifatkan sebagai contoh yang terbaik, berakhlak sebagaimana yang diajar di dalam al-Quran. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga seorang pemimpin masyarakat dan Negara yang disegani.
Kepemimpinan Nabi :
Sebagai Pemimpin Agama :
  1. Mempunyai empat sifat terpuji iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah ( beri contoh untuk setiap sifat terpuji ).
  2. Menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia
  3. Baginda berakhlak mengikut ajaran yang diajar dalam al Quran sebagai seorang pendakwah, nabi menunjukkan sifat – sifat sebenar iaitu lemah lembut, toleransi, tegas dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawanya terutama aspek akidah. Contohnya, baginda tetap bersabar menghadapi tentangan orang Musyrikin sehinggalah kemuncaknya mereka berkomplot untuk membunuh nabi.
  4. Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi dan tidak pernah cuba menunjukkan kuasa – kuasa luar biasa walaupun dianugerahkan pelbagai mukjizat oleh Allah SWT
  5. Baginda telah menentukan beberapa bidang disiplin bagi menjamin kesejahteraan masyarakat iaitu ibadat (solat, puasa, zakat dan lain-lain), nikah kahwin, jenayah dan ketatanegaraan serta hubungan antarabangsa yang bersumberkan al Quran dan hadis.
  6. Dalam amanita terakhir baginda berpesan supaya umat manusia berpegang kepada al Quran dan hadis
Sebagai Pemimpin Politik :
  1. mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia iaitu sahifah Madinah.
  2. Kepimpinan baginda telah terserlah sebelum kerasulan baginda lagi apabila berjaya menyelesaikan pertelingkahan antara ketua – ketua suku Arab Mekah yang hampir menumpahkan darah iaitu meletakkan semula batu hitam atau Hajarul aswad dipenjuru Kaabah.
  3. Mendamaikan pertelingkahan antara suku Aus dan khazraj Arab Madinah melalui perjanjian Aqabah satu dan dua
  4. Diktiraf menjadi ketua Negara Islam Madinah melalui sahifah Madinah
  5. Mengadakan hubungan diplomatic contohnya menghantar perwakilan islam ke Habsyah dan Mesir.
  6. Memperkenalkan sistem Syura ( permesyuaratan) untuk membuat keputusan dalam semua bidang secara kolektif.
Sebagai Pemimpin Tentera :
  1. menunjukkan mutu kepimpinan yang tinggi dalam bidang ketenteraan
  2. menjadi pemimpin dalam 27 ekspedisi ketenteraan ( Ghazwah) yang disertai oleh baginda
  3. akidah , syariat dan akhlak yang mulia menjadi asas dalam kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan.
  4. Baginda bertindak mengikut peraturan yang telah disyariatkan oleh Allah SWt
  5. Mengamalkan sifat amanah dan tidak mudah lemah semangat dalam menghadapi musuh.
  6. Sentiasa adil kepada kawan samada kawan atau musuh. Contohnya membahagikan harta rampasan perang secara adil kepada kawan – kawan yang menyertai peperangan dan tidak melakukan pencerobohan terhadap musuh yang sudah lari dari medan perang atau kaum – kaum yang lemah.
  7. Berjaya merangka taktik dan strategi ketenteraan yang membawa kejayaan kepada pasukan tentera Islanm.
  8. Memperkenalkan etika peperangan dalam Islam iaitu:
  • Mematuhi perintah Allah serta menuntut keredhaannya
  • Memberi pilihan sebelum berperang iaitu masuk Islam, bayar Jizyah dan berperang
  • Tentera Islam dilarang bertindak kejam terhadap tawanan perang, musuh yang telah mati.
  • Tentera Islam dilarang memerangi kanak- kanak, kaum wanita dan orang tua.
  • Tentera Islam dilarang memerangi orang yang sedang beribadat dan orang awam.
  • Tentera Islam dilarang mengejar musuh yang telah lari.
  • Tentera Islam dilarang memusnahkan harta benda dan tanaman awam.
  • Berhenti berperang sekiranya musuh minta berdamai.
  • Patuh kepada ketua.
  • Tidak boleh lari dari medan peperangan.
  • Dibolehkan melakukan tipu muslihat dalam peperangan.
Sebagai Pemimpin Masyarakat :
  1. berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan.
  2. Menyatukan umat Islam melalui persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar berdasarkan konsep ukhuwah Islamiyah dan bantu membantu kea rah kebaikan.
  3. Berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat madinah seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah.
  4. Persamaan taraf antara lelaki dan perempuan kecuali takwa.
  5. Menaikkan taraf wanita .
  6. Menghapuskan batas – batas perbezaan kaum melalui konsep Ummah contohnya menyatukan orang Muhajirin, Ansar dan Yahudi ( diperingkat awal tetapi akhirnya Yahudi disingkirkan kerana melanggar Sahifah Madinah ).
  7. Kebebasan beragama kepada semua penduduk Madinah dan mengamalkan adat masing –masing.
  8. Ketua-ketua suku diberikan peranan masing-masing menyelesaikan masalah anggota suku masing-masing contohnya Sa’d bin Ubadah , ketua suku Khazraj dan Sa’d bin Muadz, ketua suku Aus untuk menjalankan penyiasatan. Setelah terbukti kesalahan bani Quraizah, Sa’d bin Muadz untuk menetukan hukuman kerana beliau lebih arif mengenai kedudukan bani Quraizah
Ketua Hakim :
  1. Menjalankan kewajipan sebagai ketua hakim yang adil dan saksama.
  2. Menunjukkan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh mana hakim.
  3. Contoh ketegasan baginda dipaparkan apabila baginda menegaskan bahawa hukuman memotong tangan terhadap pencuri akan dilaksanakan walaupun pencuri tersebut adalah Fatimah anak yang paling baginda sayangi.
Sebagai Perancang Ekonomi :
  1. Memperkenalkan dasar ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman jahiliyyah dan menggalakkan umat Islam bekerja keras serta bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian.
  2. Berusaha membangunkan ekonomi umat Islam yang tergadai kepada orang Yahudi

    Esei Ciri Kepimpinan Nabi Muhammad


    Pengenalan
                 Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah baginda berhijrah ke Madinah.
    Isi
                    Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.
                    Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar, namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi, baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.
                    Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w.  juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah. Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
                    Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
                    Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda ‘al-Amin’ kerana segala perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah cuba membunuh baginda.
    Penutup
                    Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda dianggap seorang negarawan yang ulung.

     

    Pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah (Esie)

    Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Madinah.

    Pengenalan
                    Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemerintah pertama di negara Islam Madinah. Baginda memerintah berteraskan wahyu Allah SWT selain mengamalkan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal Piagam Madinah. Baginda amat menegaskan perasaan taat setia dalam kalangan umat Islam bagi menggantikan semangat assabiyah dalam kabilah-kabilah.
                    Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang sebenar. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menjelaskan perkara-perkara berkaitan umat Islam dan bukan Islam. Piagam ini telah menjadi teras peraturan hidup masyarakat Madinah yang berbilang kaum.
                    Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menubuhkan Majlis Syura bagi menggubal dasar pemerintahan negara yang berteraskan al Quran dan Sunnah. Majlis ini dianggotai sebilangan sahabat paling kanan yang pakar dalam bidang tertentu. Baginda juga mengamalkan sistem perundangan yang berteraskan al Quran dan sunnah. Bagindalah hakim yang dilantik pada peringkat suku kaum.             
                    Seterusnya baginda membentuk satu dasar diplomatik dengan menjalin hubungan dengan negara luar. Memandangkan wilayah Islam semakin meluas, para ‘amir’ telah dilantik untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, Uthman ibn Abi al-As dilantik sebagai ‘amir’ di Taif.
                    Nabi Muhammad s.a.w. juga  membentuk pentadbiran berasaskan empat dasar iaitu mengukuhkan semangat akidah bagi menggantikan semangat assabiyah, menjadikan Islam sebagai landasan peraturan masyarakat, mengamalkan kaedah musyawarah dalam pentadbiran dan memperkenalkan Piagam Madinah. Dasar ini menjadi panduan masyarakat Islam untuk memperoleh kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan.

    Penutup
                 Kebijaksanaan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membina sebuah masyarakat yang bersatu serta mewujudkan kestabilan politik selain membina negara Islam yang kukuh, aman dan berdaulat.

No comments:

Post a Comment